Friday, February 18, 2011

Nilai Murni Perlu Dipupuk Elak Perpecahan, Masalah Sosial Berleluasa

Nilai murni perlu dipupuk elak perpecahan, masalah sosial berleluasa
2010/04/09

PEMUPUKAN dan penerapan nilai murni perlu dipromosikan bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang menghantui negara sejak kebelakangan ini. Negara kita menghadapi pelbagai masalah sosial contohnya ancaman dadah yang serius, salah laku juvana dan jenayah keganasan terhadap kanak-kanak dan vandalisme.

Semua ini petanda penurunan nilai murni yang jika tidak diatasi akan menggugat aspirasi kita menjadikan Malaysia negara maju. Kita bukan saja perlu menangani masalah sosial dan jenayah, malah juga isu lebih penting seperti integrasi kaum, perpaduan dan lain-lain.
Pencegahan berkaitan jenayah memerlukan pembabitan setiap individu dan masyarakat atau secara khususnya terarah kepada institusi kekeluargaan. Institusi kekeluargaan yang utuh berupaya mengurangkan risiko jenayah menerusi pemupukan kemahiran penjagaan dan pendidikan anak.

Kita perlu memupuk budaya pencegahan pada peringkat masyarakat dan keluarga bagi mengurangkan peluang jenayah daripada berlaku, sekiranya tidak dapat menghilangkan terus peluang itu. Seperti juga usaha pencegahan lain, pencegahan jenayah perlu dilatih secara praktikal dan berterusan bagi menjadikannya amalan seharian. Kita perlu melahirkan masyarakat proaktif bagi mengelak daripada menjadi mangsa jenayah.

Satu cara mudah mencegah jenayah ialah menggunakan pemikiran rasional dan untuk mengurangkan peluang berlakunya jenayah. Usaha seperti menyimpan barang berharga dalam peti besi di bank, menyimpan peralatan rumah yang boleh menimbulkan jenayah berlaku seperti tangga, pemutar skru atau cangkul adalah langkah yang boleh diambil ketika pulang ke kampung halaman.

Pencegahan juga menitikberatkan kepada penganjuran program pendidikan pencegahan serta penguatkuasaan undang-undang sedia ada di kawasan mempunyai kadar jenayah tinggi. Bagi jangka masa panjang, pencegahan jenayah bertujuan mengurangkan peluang berlakunya jenayah dan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap pencegahannya.
Saya menyeru kita bersama berusaha wujudkan budaya antijenayah serta masyarakat penyayang yang dipupuk dengan semangat tanggungjawab, kesedaran dan keinsafan rohani yang tinggi. Ini bagi mencapai matlamat 1Malaysia yang selamat dan bersatu padu.

TAN SRI LEE LAM THYE,
Naib Pengerusi MCPF.

sumber : Berita Harian Online...

No comments: